KEADAAN bangunan asrama di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Istana Bandar, Kuala Langat yang terbakar. FOTO Faiz Anuar.
KEADAAN bangunan asrama di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Istana Bandar, Kuala Langat yang terbakar. FOTO Faiz Anuar.
Ruwaida Md Zain


HANYA dalam tempoh lima minit, 135 pelajar perempuan Mahaad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat di Banting, berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran pada 5.40 pagi, hari ini.

Pengetua MITS Kuala Langat, Abd Halim Saljadi berkata, kecekapan yang ditunjukkan pelajar perempuan tingkatan satu hingga lima itu menunjukkan latihan pengungsian bangunan yang dipelajari mereka sangat berguna.

"Dua tahun lalu, bomba ada buat latihan kebakaran (fire drill) di sekolah ini. Jadi, apabila lihat kebakaran itu, semua pelajar turun dengan pantas.

"Ini bermakna latihan itu membantu pelajar menghadapi situasi panik seperti ini, dalam tempoh lima minit mereka boleh berkumpul di bawah, itu sangat bagus. Tindakan mereka betul, tinggal semua benda, turun dengan selamat.

"Walaupun bukan kebakaran besar tetapi kejayaan mereka menyelamatkan diri itu patut dipuji, mereka bertindak cepat, saya bangga dengan pelajar dan warden.

"Warden juga bertindak cepat dengan mengarahkan pelajar turun dan membuat kiraan mengikut dorm serta memastikan tiada pelajar tertinggal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Abd Halim berkata, MITS Kuala Langat mempunyai 141 pelajar perempuan dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima yang menghuni di dua bangunan asrama iaitu A dan B.

"Kawasan terbakar membabitkan tiga dorm, masing-masing satu tandas dan ampaian di tingkat empat Bangunan A yang menempatkan 36 pelajar (tingkatan satu hingga tiga).

"Tetapi semalam, seramai 135 pelajar melaporkan diri ke asrama, manakala enam lagi belum berbuat demikian atas beberapa sebab," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kejadian disedari seorang pelajar di asrama bangunan A yang terhidu bau terbakar ketika ingin menutup suis lampu.

Katanya, ketika itu ramai pelajar sudah ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

"Pada jam 5.45 pagi, tiga pelajar perempuan daripada asrama bangunan B ternampak api di dalam dorm itu dan memberitahu pelajar lain.

"Mereka kemudian diarahkan turun dan berkumpul di hadapan kuarters guru, sebelum warden menelefon bomba," katanya.

Abd Halim berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.17 pagi.

Katanya, jumlah kerugian masih dalam penilaian dan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 5:26 PM