Ruwaida Md Zain


TIDAK sampai 12 jam kebakaran berlaku, kerajaan negeri Selangor segera menyalurkan peruntukan baik pulih sebanyak RM300,000 kepada Mahaad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat, Selangor, yang terbakar.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain membaiki bangunan asrama yang terbakar, peruntukan itu bertujuan menambahbaik aspek keselamatan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang lagi.

"Keselamatan pelajar terutama anak-anak kita yang sedang menuntut ilmu adalah keutamaan penting bagi semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor.

"Kerajaan Negeri sedang menguruskan penempatan sementara buat pelajar yang terjejas akibat peristiwa kebakaran ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya tadi.

Pengumuman peruntukan itu dibuat selepas beliau meninjau bangunan asrama perempuan MITS yang mengalami kebakaran awal pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman yang ditemui di lokasi tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca dari litar pintas.

"Siasatan awal dijalankan mendapati kemungkinan punca kebakaran akibat masalah litar pintas di asrama pelajar perempuan di aras empat yang menempatkan seramai 36 pelajar perempuan.

AMIRUDIN (kiri) meninjau keadaan bangunan selepas kejadian kebakaran asrama di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Istana Bandar, Kuala Langat. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN (kiri) meninjau keadaan bangunan selepas kejadian kebakaran asrama di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Istana Bandar, Kuala Langat. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 5:21 PM