Petikan rakaman warden memukul pelajar di sebuah sekolah vokasional di Sungai Buloh.
Petikan rakaman warden memukul pelajar di sebuah sekolah vokasional di Sungai Buloh.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan rakaman video pelajar dipukul warden di sebuah sekolah vokasional di Sungai Buloh yang menjadi viral di media sosial sejak semalam, adalah benar.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu.

"Polis menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 10.25 pagi semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abd Rahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang Khamis lalu, di asrama Kolej Vokasional Sungai Buloh dan video kejadian yang dirakam mula tersebar di laman media sosial petang semalam.

Beliau berkata polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Video berdurasi seminit 10 saat itu menunjukkan seorang pelajar sekolah dipukul warden dengan memijaknya kerana pelajar itu dikatakan melakukan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 9:53 PM