Kenderaan yang disyaki digunakan dalam kejadian cubaan samun dihalang kereta polis di Jalan Bandar Baru Klang semalam. Foto Ihsan PDRM
Kenderaan yang disyaki digunakan dalam kejadian cubaan samun dihalang kereta polis di Jalan Bandar Baru Klang semalam. Foto Ihsan PDRM
Norzamira Che Noh

TIGA lelaki dipercayai terbabit dalam cubaan samun sebuah rumah di Jalan Pokok Sakat dekat Klang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan mengenai sekumpulan lelaki cuba memanjat masuk ke sebuah rumah pada 2.40 petang Khamis lalu.

Menurutnya, cubaan mereka itu tidak berjaya apabila rakan kepada pemilik rumah keluar dari rumah itu dan ternampak suspek.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia dan turut melanggar bonet kereta rakan pemilik rumah yang cuba mengekori mereka.

"Seorang daripada suspek juga sempat keluar dari kereta dan mengugut rakan pemilik rumah dengan menggunakan parang sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, bertindak atas maklumat kemudiannya sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya mengesan kereta yang dipercayai digunakan suspek berada di tepi Jalan Bandar Baru Klang (Klang Utara) pada 2 pagi semalam.

Katanya, ketika menghampiri dan memperkenalkan diri, suspek cuba memecut keretanya untuk melarikan diri sebelum melanggar dua kereta yang dinaiki anggota polis yang berada di hadapan dan belakang kenderaan berkenaan.

"Untuk mempertahankan diri dan keselamatan, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mana dua das disasarkan ke tayar hadapan sebelah penumpang dan satu das pada tayar belakang sebelah penumpang sekali gus berjaya menghalangnya melarikan diri.

"Seorang lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 31 yang berada dalam kenderaan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.

"Susulan penahanan mereka itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Bukit Raja," katanya.

Shamsul Amar berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan didapati mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah termasuk dadah dan pihaknya kini sedang giat mengesan dua lagi lelaki dipercayai rakan mereka.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan manakala IPD Klang Utara menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 10:44 AM