Sungai Klang dan Sungai Gombak berhampiran Masjid Jamek Kuala Lumpur. Foto NSTP
Sungai Klang dan Sungai Gombak berhampiran Masjid Jamek Kuala Lumpur. Foto NSTP
Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

PROJEK River of Life (RoL) yang bernilai RM4.36 bilion ini kini sudah siap 92 peratus.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, kemajuan yang dicapai dalam projek itu adalah mengikut jadual dan piawaian yang ditetapkan.

"Dua komponen utama projek ini iaitu pembersihan dan pengindahan hanya lewat satu peratus berbanding jadual serta masing-masing dijangka siap pada akhir 2020 (pengindahan) dan 2024 (pembersihan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) mengenai kedudukan terkini RoL dan bila siap sepenuhnya projek serta kos keseluruhan.

Annuar berkata, sasaran Water Quality Index (WQI) pada kelas dua bagi 10.7 kilometer (km) di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak hanya akan tercapai selepas semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan serta beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Projek RoL bermula pada 2011 membabitkan transformasi Lembangan Sungai Klang yang membabitkan jajaran 110 km.

Antara sasaran utama projek itu adalah menjadikan 10.7 km Sungai Klang dan Sungai Gombak sebagai ikon waterfront yang dinamik dengan nilai ekonomi tinggi serta meningkatkan kualiti air sungai sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 10:26 AM