Aliran air Sungai Klang lancar semasa tinjauan ke kawasan perangkap sampah Sungai Klang yang dikatakan rosak sehingga menyebabkan sampah bertimbun dan banjir. FOTO GENES GULITAH
Aliran air Sungai Klang lancar semasa tinjauan ke kawasan perangkap sampah Sungai Klang yang dikatakan rosak sehingga menyebabkan sampah bertimbun dan banjir. FOTO GENES GULITAH
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Perangkap sampah di sungai utama di ibu kota berfungsi dengan baik bagi memerangkap sampah dari terus dihanyutkan.

Tinjauan di Sungai Klang, Sungai Gombak, Sungai Batu dan Sungai Kerayong juga mendapati aliran sungai lancar.

Tiada sampah bersaiz besar dihanyutkan sehingga menghalang aliran air sungai dan saluran air perparitan.

Tindakan proaktif ini membantu mengurangkan pencemaran selain memastikan aliran sungai lancar dan tidak melimpah ketika hujan lebat.

Malah, keadaan ini membuktikan kejayaan Projek River of Life (RoL) yang bernilai RM4.36 bilion dibangunkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu bagi mengindahkan sungai di ibu kota.

Untuk rekod, Projek RoL bermula pada 2011 membabitkan transformasi Lembangan Sungai Klang yang membabitkan jajaran 110 kilometer (km).

Antara sasaran utama projek itu adalah menjadikan 10.7 km Sungai Klang dan Sungai Gombak sebagai ikon waterfront yang dinamik dengan nilai ekonomi tinggi serta meningkatkan kualiti air sungai sedia ada.

Tinjauan ini juga menguatkan lagi kenyataan dibuat Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Parlimen semalam yang memaklumkan banjir di ibu kota bukan disebabkan perangkap sampah yang tidak berfungsi dengan baik.

Malah, Shahidan berkata, sistem perparitan tersumbat dan kolam takungan banjir juga berfungsi dengan baik.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membersihkan sistem perparitan secara berkala dan kesemua 19 perangkap sampah sungai setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 3:33 PM