LAKARAN Greater KL-KV.
LAKARAN Greater KL-KV.
Sofyan Rizal dan Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater KL-KV) terus mendapat perhatian pelabur asing untuk beroperasi di Kuala Lumpur pada tahun lalu apabila 14 syarikat berstatus multinasional (MNC) bersetuju membuat pelaburan di lokasi berkenaan.

Pengumuman itu yang dibuat menerusi InvestKL 2014 menarik pelbagai syarikat dari Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Pasifik untuk beroperasi di Kuala Lumpur pada 2014.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, syarikat MNC itu tertumpu dalam sektor pendidikan, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, teknologi maklumat, logistik, perkhidmatan kejuruteraan dan produk industri.

Beliau berkata, pembukaan pejabat syarikat MNC itu dijangka mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Tahun 2014 adalah tahun memberangsangkan dan bermakna bagi NKEA Greater KL/KV apabila ia menunjukkan kemajuan ketara mengikut jadual dan semua pihak berkepentingan mengekalkan komitmen untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar bertaraf antarabangsa menjelang 2020.

“Projek Sistem Transit Berkapasiti Tinggi (MRT) laluan 1 (Sungai Buloh-Kajang) pada 2014 menunjukkan pencapaian signifikan dari aspek pembinaan kedua-dua bahagian tertingkat dan bawah tanah yang kini mendahului jadual dengan penyiapan 59 peratus,” katanya dalam buku Laporan ETP 2014.

Projek Sungai Nadi Kehidupan yang bakal menggiatkan semula Sungai Klang dan Gombak menjadikannya sebagai sebuah pusat warisan dan komersial sedang berjalan seperti yang dijadualkan dengan pencapaian 37 peratus daripada sasaran tahunannya 39 peratus.

Katanya, fasa satu kerja pengindahan sungai sepanjang 10.7 kilometer di sekitar pusat bandar yang mana terletaknya kawasan bersejarah sudah bermula pada 2014 dan dijangka siap pada suku ketiga 2016.

Sementara satu lagi projek transformasi dilaksanakan di bawah Greater KL/KV ialah pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi bagi menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

“Suruhajaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sudah menepati petunjuk prestasi utama (KPI) yang yang ditetapkan dan bakal mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memuktamadkan penjajaran berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:25 AM