OPERASI mencari dan menyelamat nelayan jatuh laut ditamatkan. FOTO ihsan APMM
OPERASI mencari dan menyelamat nelayan jatuh laut ditamatkan. FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan nelayan jatuh laut ketika menangkap ikan kira-kira 4.1 batu nautika di Pulau Payar, Langkawi, Rabu lalu, ditamatkan hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, operasi itu ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk ditemui.

Beliau berkata, operasi dilaksanakan di kawasan seluas 396 batu nautika persegi dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

"Pelbagai aset yang digunakan sepanjang operasi SAR ini yang membabitkan sebuah bot Kilat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot Jabatan Perikanan Kedah selain dibantu beberapa bot nelayan.

"Walau bagaimanapun operasi ini akan disambung semula jika pihak Maritim Malaysia menemui sebarang petanda baru," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 15 Julai lalu, mangsa yang belum dikenal pasti identiti berusia 20-an itu dipercayai terjatuh ketika berada dalam bot pukat tunda bersama seorang tekong dan seorang lagi nelayan.

Mangsa dipercayai baru hari pertama bekerja pada hari dia dilaporkan terjatuh menggantikan nelayan yang bercuti menyebabkan identitinya belum diperolehi.

Mahmad Faizal berkata, dalam masa yang sama komuniti maritim juga turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan cuaca yang tidak menentu pada masa ini selain nempunyai keperluan memiliki Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat tambahan ketika menghadapi kecemasan di laut.

"Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkoordinasikan operasi SAR ini mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua yang terbabit.

"Sebarang maklumat mengenai kemalangan atau kecemasan di laut boleh dihubungi melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Berita berkaitan:

  • Hilang di laut pada hari pertama bekerja
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 11:27 AM