ANGGOTA APMM melakukan pemeriksaan pencarian di lokasi seorang nelayan Thailand yang dipercayai terjatuh ketika menangkap ikan sejak Ahad lalu. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA APMM melakukan pemeriksaan pencarian di lokasi seorang nelayan Thailand yang dipercayai terjatuh ketika menangkap ikan sejak Ahad lalu. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) nelayan Thailand yang dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam laut sewaktu menangkap ikan pada Ahad lalu ditamatkan semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 7 malam selepas usaha mencari mangsa dilakukan selama tiga hari.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ini akan disambung semula sekiranya mendapat petunjuk baru.

“Jumlah keseluruhan sektor pencarian adalah seluas 500 batu nautika daripada kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selaku agensi yang mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat merakamkan jutaan penghargaan kepada agensi-agensi yang terbabit antaranya adalah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin dan beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi SAR bagi mengesan nelayan warga Thailand dipercayai hilang selepas dilaporkan terjatuh ke laut pada 21 April pada jarak 22.3 batu nautika barat laut Pulau Songsong.

Orang awam diminta melaporkan sebarang penglihatan mangsa atau objek di sekitar kawasan berkenaan di talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Berita berkaitan

SAR nelayan Thailand diteruskan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 10:08 AM