Noh Omar (tengah) menerima cenderhati selepas merasmikan Mesyuarat PVATM di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Gulang-Gulang, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar (tengah) menerima cenderhati selepas merasmikan Mesyuarat PVATM di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Gulang-Gulang, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar menegaskan beliau akan menarik semula sokongan bila-bila masa kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya masih bertegas untuk melantik penyelaras di Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Noh berkata, perkara itu seolah tidak mengiktiraf beliau sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN pada ketika ini.

"Kalau dilantik juga penyelaras (di Parlimen Tanjong Karang) , maknanya beliau (Azmin) tidak mengiktiraf saya sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN. Adakah beliau nak minta saya supaya menarik sokongan (kepada Kerajaan PN)?

"Jadi, Azmin jangan cabar saya. Jangan ganggu Tanjong Karang kerana saya masih lagi anggota PN," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, tadi.

Beliau juga berkesempatan meluangkan masa menghadiri Majlis Pelancaran Pembangunan Tambahan Maahad Tahfiz Ad-Diniah.

Sehubungan itu, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, beliau kesal dengan tindakan PN Selangor dan meminta perkara itu dikaji semula sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

"Adakah mereka tidak mengiktiraf saya sebagai ahli Parlimen dalam kerajaan PN?

"Saya minta sama ada mereka mengiktiraf saya atau pun tidak. Kalau ia dibuat juga (melantik penyelaras Parlimen Tanjong Karang) tunggu dan lihat saya akan ambil tindakan," katanya

Terdahulu, media melaporkan PN Selangor akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan pelantikan penyelaras bagi 18 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) termasuk satu daripada Barisan Nasional (BN) dalam usaha menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Perhubungan BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, berkata mesyuarat akan disertai tiga parti komponen PN iaitu BERSATU, PAS dan GERAKAN bagi menentukan individu yang dilantik menjadi penyelaras di sesebuah Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 4:39 PM