NOORZAINY (tiga dari kanan) menunjukkan barangan rampasan dalam Ops Dadu Khas perjudian dalam talian dan loteri tidak berlesen ketika sidang media di IPD SPU, Kepala Batas, hari ini. FOTO Danial Saad.
NOORZAINY (tiga dari kanan) menunjukkan barangan rampasan dalam Ops Dadu Khas perjudian dalam talian dan loteri tidak berlesen ketika sidang media di IPD SPU, Kepala Batas, hari ini. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


BERGERAK menggunakan kereta dan motosikal bagi mengelak kegiatan dijalankan terbongkar antara taktik digunakan sindiket loteri tak berlesen dan judi dalam talian di Kepala Batas.

Namun, taktik mereka yang sentiasa berubah-ubah itu dikesan polis yang menyerbu beberapa lokasi di Kepala Batas, Butterworth dan Tasek Gelugor sebelum menahan 24 ejen berusia 21 hingga 62 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya membuat serbuan kelmarin dan semalam bagi membanteras kegiatan loteri tak berlesen yang semakin berleluasa sejak sebulan lalu.

"Polis menyerbu 10 premis perniagaan kelmarin dan menahan 14 ejen yang menjalankan kegiatan berkenaan.

"Pada operasi semalam pula, sembilan lagi premis digempur dan 10 ejen ditahan dengan secara keseluruhannya 24 ejen ditahan dalam tempoh dua hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU di Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM4,208 serta pelbagai peralatan seperti telefon bimbit, buku nota dan mesin resit digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan sama ada semua ejen ditahan itu daripada sindiket sama memandangkan beroperasi dengan taktik dan modus operandi sama.

"Kita dapati cara mereka beroperasi adalah dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai kopi, kedai telefon bimbit dan kedai runcit.

"Bagaimanapun, sejak polis menggempur premis perniagaan didapati mereka mengubah taktik dengan bergerak secara mobil," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) akta sama.

Sehubungan itu, katanya, pemilik bangunan digesa supaya tidak menyewa premis mereka kepada individu yang menjalankan kegiatan tidak sihat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 8:40 PM