POLIS merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam kegiatan perjudian ketika membuat serbuan ke atas 11 premis perniagaan sekitar daerah Seberang Perai Utara . FOTO ihsan PDRM
POLIS merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam kegiatan perjudian ketika membuat serbuan ke atas 11 premis perniagaan sekitar daerah Seberang Perai Utara . FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis serbu 11 premis perniagaan sekitar daerah ini yang menjalankan kegiatan judi dalam talian dan loteri awam serta pertaruhan bola sepak melalui operasi yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menahan 12 individu berusia lingkungan 18 hingga 56 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian berkenaan.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan kerjasama Ketua Balai Polis (KPB).

"Polis memperoleh maklumat awam masih terdapat aktiviti perjudian dengan menjadikan premis perniagaan sebagai markas operasi walaupun sudah berkali-kali polis mengadakan serbuan.

"Hasilnya, selama tiga hari menjalankan operasi polis menyerbu 11 premis dan menahan 12 individu di sekitar kawasan Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor dan Kepala Batas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam kegiatan perjudian itu antaranya telefon bimbit, buku nota, kalkulator dan sejumlah wang tunai untuk tindakan lanjut.

"Tindakan pemotongan elektrik oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diambil ke atas semua premis yang diserbu," katanya.

Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A(A) dan 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 4:55 PM