NOORZAINY menunjukkan antara alatan digunakan dalam sindiket perjudian dan loteri yang dirampas pihaknya. FOTO Danial Saad.
NOORZAINY menunjukkan antara alatan digunakan dalam sindiket perjudian dan loteri yang dirampas pihaknya. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Sindiket loteri dan judi ekor haram serta perjudian dalam talian di daerah ini dikesan semakin terdesak apabila mengubah modus operandi berikutan premis mereka yang kerap digempur polis.

Terbaharu pada kelmarin dan semalam, polis menyerbu 24 premis perjudian loteri dan 13 premis perjudian dalam talian yang membawa kepada lapan tangkapan dan rampasan wang tunai berjumlah RM698.

Mereka direman tiga hari untuk siasatan Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sehingga kini sebanyak 65 premis yang menjalankan aktiviti itu diambil tindakan pemotongan elektrik di bawah Seksyen 21 A (1) akta sama.

"Kesemua premis ini berselindung dengan pelbagai aktiviti perniagaan untuk mengelak kegiatan mereka terbongkar.

"Bagaimanapun modus operandi itu berjaya dipatahkan polis hingga menyebabkan sindiket mula terdesak serta mengubah taktik dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.

"Polis tidak sesekali akan berdiam diri dan berterusan menggempur aktiviti ini habis-habisan serta membebaskan daerah ini daripada kegiatan tidak sihat walau apa pun taktik dilakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Beliau berharap orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian supaya melaporkan kepada pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:51 PM