GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Bimbang dipenjara kononnya didakwa terbabit dalam kegiatan jenayah, seorang lelaki kerugian RM2.8 juta selepas menerima panggilan dan diperdaya 'Sarjan Yap'.

Kejadian berlaku pada 1 Julai lalu apabila mangsa dihubungi seorang lelaki menyamar sebagai pegawai pos laju.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berkenaan memaklumkan mangsa menerima satu bungkusan mengandungi dokumen peribadi.

"Lelaki terbabit kemudian memindahkan panggilan kepada seorang pegawai polis dikenali sebagai 'Sarjan Yap'.

"Suspek kemudian menggertak mangsa dan mendakwa mangsa disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah," katanya.

Mohd Azam berkata, suspek juga memberitahu akan ke rumah mangsa untuk membuat tangkapan.

"Bagi mengelakkan ditangkap, mangsa diminta oleh suspek memindahkan semua wang dari akaun simpanannya ke dalam akaun suspek secara pindahan dalam talian.

"Mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi lelaki berkenaan selepas memindahkan wang," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dan mendedahkan maklumat peribadi serta akaun bank kepada mana-mana orang yang tidak dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:13 PM