Foto hiasan
Foto hiasan
Zuhainy Zulkiffli

WANG simpanan sebanyak RM167,999.50 milik bekas pegawai bank berusia 65 tahun lesap selepas dipercayai ditipu sindiket Macau Scam baru-baru ini.

Mangsa yang juga lelaki dari Taman Desa Ara , Bayan Lepas itu mendakwa menerima panggilan daripada syarikat kiriman pos memaklumkan terdapat bungkusan miliknya mengandungi sekeping Mykad dan lima kad bank.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan A A Anbalagan berkata, panggilan itu kemudiannya disambung kepada rakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis di Sabah.

Menurutnya, suspek kemudiannya mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram sebelum menyambung lagi panggilan kepada dua rakannya yang menyamar sebagai Sarjan Chong Sin Han dan Asisten Superintendan Yong.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa menghantar nama pengenalan dan kata laluan bank kerana mahu membuat siasatan terhadap duit yang ada dalam akaun mangsa.

"Suspek meminta nombor TAC dan sebelum mangsa menyedari wang dari akaun banknya ditolak RM9,999.50," katanya hari ini.

Anbalagan berkata, keseluruhannya dari 20 Jun hingga sehingga 10 Julai lalu, mangsa sudah memasukkan sebanyak RM167,999.50 ke nombor akaun berlainan seperti yang diminta suspek.

Menurutnya, mangsa turut memindahkan wangnya menerusi mesin juruwang automatik (ATM) selain daripada dipindahkan secara dalam talian.

"Suspek juga mengarahkan mangsa supaya mengoyak resit pindahan wang yang dilakukannya menerusi mesin ATM.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Anbalagan menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya pada individu yang berurusan menggunakan telefon atau media elektronik atau media sosial lain serta tidak sesekali memberi butir peribadi atau bank.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 12:01 PM