Zuliaty Zulkiffli


HARGA pasaran daun ketum di negara jiran yang mencecah hampir RM60 sekilo menyebabkan penyeludup di negara ini mengambil peluang melakukan kegiatan itu walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa.

Ia dibuktikan apabila 17 tan daun ketum dianggarkan bernilai RM550,100 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menerusi Op Benteng Covid di sempadan negara dalam tempoh 1 Jun hingga hari ini.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebanyak 47 kes rampasan direkodkan, dengan empat suspek disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan itu turut ditahan.

"Kesemua lelaki tempatan berusia sekitar 20-an hingga 40-an itu juga positif dadah jenis methampetamine.

"Kita turut merampas wang tunai, telefon bimbit serta 17 kenderaan iaitu lima kereta dan kenderaan pikap serta 12 motosikal dipercayai terbabit dalam kegiatan ini.

"Jumlah keseluruhan rampasan daun ketum termasuk kenderaan, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM736,627," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Utara di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan penyerahan tugas antara Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA, Superintendan Abdul Aziz Abdullah kepada Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3, Deputi Superintendan Syamsul Amri Abu Bakar.

Bermula hari ini, pasukan Batalion 3 Bidor Perak akan mengambil alih tugas daripada Batalion 1 Hulu Kinta, Perak bagi menjaga keselamatan di sempadan meneruskan Ops Benteng Covid di kawasan Ops Wawasan Kedah/Perlis selama sebulan.

Mohd Nasaruddin berkata, modus operandi sering digunakan adalah meninggalkan timbunan guni di satu tempat di kawasan hutan di sempadan, sebelum diambil sindiket lain apabila merasakan kawasan itu selamat.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, pihaknya turut menahan lima lelaki iaitu empat warga Myanmar dan seorang warga Thailand ketika cuba keluar masuk ke negara ini tanpa dokumen sah.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Selain itu, PGA Briged Utara turut menahan seorang lelaki tempatan kerana memiliki senjata berbahaya iaitu perenjat elektrik dan memiliki pasport bukan miliknya.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata 1990 dan Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.

MOHD Nasaruddin (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam OP Benteng Covid. FOTO Amran Hamid
MOHD Nasaruddin (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam OP Benteng Covid. FOTO Amran Hamid

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:46 PM