SUSPEK ditahan. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG penghantar barang menggunakan pintu belakang sebuah premis untuk memecah masuk dan mencuri wang milik syarikat kurier di Kota Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek memakai topi keledar memecah masuk melalui pintu belakang sebelum mengambil wang di laci tempat penyimpanan wang majikannya itu.

"Rakaman kamera litar tertutup (cctv) menunjukkan suspek yang berusia 21 tahun masuk ke premis berkenaan.

"Suspek yang juga penghantar barang mengambil wang RM2,700 di kaunter berkenan sebelum melarikan diri menggunakan motosikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, susulan laporan polis yang dibuat, suspek ditahan di Jalan PJU 5/16 di Petaling Jaya, semalam.

"Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku melakukan kegiatan berkenaan dan mencuri wang di laci premis terbabit.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,"katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 4:23 PM