NIK Ezanne (kiri) melakukan tinjauan di kedai runcit berhampiran pasar Jalan Othman. FOTO Hairul Anuar Rahim
NIK Ezanne (kiri) melakukan tinjauan di kedai runcit berhampiran pasar Jalan Othman. FOTO Hairul Anuar Rahim
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 2,150 penduduk termasuk 595 warga asing di Zon A, B dan C dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, selesai menjalani saringan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi 'search and screen' yang dimulakan sejak semalam di premis yang tidak memberikan maklum balas ketika kunjungan petugas KKM sebelum ini diteruskan hari ini.

"Sehingga semalam, sebanyak 46 premis di Zon B diperiksa dengan dua penduduk tempatan dan dua warga asing menjalani ujian saringan.

"Dengan ini, semua premis di Zon A, B dan C sudah selesai diperiksa dan sebanyak 540 sampel didapati negatif termasuklah seorang warga asing yang cuba melarikan diri daripada kawasan PKPD, kelmarin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Nik Ezanee memaklumkan dua pasukan Ops Cantas Ibu Pejabat Petaling Jaya dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mengesan 76 unit rumah yang masih gagal memberi kerjasama untuk keluar membuat saringan Covid-19.

Semua premis itu terdiri 30 rumah di Zon A dan 46 rumah di Zon B, manakala tiada rumah terbabit di Zon C dengan kesemua penduduknya selesai menjalani ujian saringan.

Nik Ezanee berkata, pihaknya akan memecah masuk mana-mana kediaman yang masih belum diperiksa bagi memastikan rumah berkenaan benar-benar kosong.

Pihaknya juga akan membuat laporan berhubung tindakan pecah masuk rumah berkenaan untuk sebarang proses susulan selepas PKPD berakhir 23 Mei ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:43 PM