BARANGAN yang dirampas polis daripada suspek kes pecah pejabat di Kota Damansara. FOTO ihsan Polis
BARANGAN yang dirampas polis daripada suspek kes pecah pejabat di Kota Damansara. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tidak sampai tempoh 24 jam memecah masuk sebuah pejabat di Kota Damansara, Selangor, sekumpulan tiga penjenayah berjaya diberkas polis semalam.

Semua suspek lelaki berusia 27 hingga 44 tahun itu ditahan polis jam 11 malam dan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penahanan semua suspek dilakukan susulan laporan kes pecah pejabat diterima polis kelmarin.

Menurutnya, suspek didakwa mengumpul pintu premis berkenaan sebelum disedari pemilik premis pada jam 8 pagi hari kejadian.

"Pemeriksaan mendapati tiga telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai RM100 dilaporkan hilang.

"Polis kemudian melakukan siasatan sebelum mendapat maklumat suspek berada di sebuah rumah di Seksyen 8, Kota Damansara di sini.

Nik Ezanee berkata, suspek diberkas mengakui terbabit dalam kejadian itu selain empat lagi kes ceroboh asrama pekerja sekitar Kota Damansara.

Tambahnya, polis turut merampas komputer riba, telefon bimbit, beg berjenama dan peralatan pecah rumah.

Beliau berkata, suspek turut didapati memiliki kes jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah.

"Semua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 14 tahun penjara, denda dan sebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:20 PM