GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara hanya merekodkan empat kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,600 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes baharu itu termasuk tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Menurutnya, satu kes penularan di dalam negara juga adalah warganegara Malaysia, iaitu kes saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor.

"Tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dikesan pada hari ini.

"Terdapat 40 kes pulih dan dibenarkan discaj dari hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari .

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,271 kes dengan kadar kesembuhan 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 5:20 PM