GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 21 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,800 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21 kes baharu itu, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan empat warga Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

"Enam kes import itu adalah tiga dari Filipina, satu dari India, satu dari Rusia dan satu dari Denmark.

"Daripada 15 kes penularan di dalam negara, 13 kes membabitkan warga Malaysia dan dua kes dalam kalangan bukan warganegara," katanya dalam kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perincian kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan wargaMalaysia adalah 13 kes berkaitan 12 kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang di Johor.

"Manakala satu kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan. Beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

"Bagi kes jangkitan dalam negara untuk dua kes dalam kalangan bukan warga pula adalah dua kes di Johor berkaitan kes saringan prapembedahan dan satu kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 122 kes.

"Sehingga kini, hanya tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 123 kes, 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 5:39 PM