Md Rofiki Samsudin.
Md Rofiki Samsudin.
Omar Ahmad

Johor Bahru: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memaklumkan pelaksanaan ibadah korban hanya boleh dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin.

Menurut kenyataan itu, ia meliputi urusan menyembelih, melapah, memotong, menimbang dan membungkus.

Katanya, MAINJ diperkenankan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memutuskan bahawa pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau seluruh negeri Johor meliputi aktiviti terbabit adalah tidak dibenarkan.

"Jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau yang menganjurkan ibadah korban atau pihak penganjur hendaklah berurusan dengan rumah sembelihan dan bertanggungjawab mengagihkan daging korban kepada penerima tanpa menggunakan kawasan masjid dan surau sebagai tempat agihan.

"Jawatankuasa terbabit atau pihak penganjur ibadah korban hendaklah memastikan haiwan yang hendak dikorbankan mematuhi syarak dan mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar serta arahan lain yang dikeluarkan oleh JPV Johor," kata kenyataan itu.

Bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini, terdapat 115 rumah sembelih sementara di negeri ini, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan), lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di setiap daerah.

Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar adalah tertakluk kepada JPV Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:26 PM