FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini hanya dibenar dilaksanakan di 164 pusat sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di seluruh negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata pelaksanaan itu merangkumi proses sembelihan, melapah dan membungkus daging korban.

Katanya, Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) bersama JPV Johor dan wakil pusat sembelihan sudah bermesyuarat pada 20 Jun lalu secara maya berhubung pelaksanaan itu.

"Seramai 25 petugas dibenarkan di pusat sembelihan pada satu masa. Mereka boleh bergilir tetapi tidak boleh melebihi 25 orang.

"Ibadah korban adalah terbuka dan tidak terhad kepada ibadah korban wajib atau korban sunat kali pertama, namun tertakluk kepada kemampuan pusat sembelihan.

"Waktu operasi rumah sembelihan dibenarkan dari jam 8 pagi hingga 10 malam (atau sehingga selesai) sepanjang empat hari Aidiladha," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau atau penganjur ibadah korban akan mengambil daging yang sudah siap dibungkus di pusat sembelihan untuk diserahkan terus kepada asnaf dan yang layak menerima.

"Kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan bagi aktiviti ibadah korban sama ada menyembelih, melapah, memotong, menimbang dan agihan.

"JPV Johor juga tidak menyokong sekiranya proses melapah dan membungkus dilaksanakan di kawasan masjid dan surau kerana dibimbangi akan mencetuskan kluster korban memandangkan jumlah kes di Johor masih lagi turun dan naik.

"Pengendali rumah sembelihan hendaklah menyediakan kaunter kod imbasan MySejahtera dan alat penyukat suhu, menyediakan cecair pembasmi kuman, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, selain melaksanakan sanitasi kawasan terbabit selepas kerja agihan dan pematuhan arahan yang dikuatkuasakan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:33 PM