GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelaksanaan ibadah korban dibenarkan dengan beberapa ketetapan bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang dengan kehadiran tidak melebihi 10 individu termasuk petugas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban itu diwartakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat mufti seluruh negeri melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang ketetapan tertakluk kepada bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Maka apa yang dibentangkan ini adalah satu cadangan yang dipersetujui di peringkat persekutuan untuk dipertimbangkan di peringkat negeri masing-masing.

"Saya juga mengambil maklum ketetapan yang sudah diputuskan oleh pihak berkuasa agama di beberapa negeri baru-baru ini," katanya ketika membentangkan SOP ibadah korban menerusi siaran langsung di Facebook rasminya, hari ini.

Zulkifli berkata, proses penyembelihan dibenarkan hanya di 27 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), 35 rumah sembelihan ruminan swasta yang dilesenkan JPV dan masjid serta surau dengan kelulusan pihak berkuasa berkaitan seperti JPV, pihak berkuasa agama dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

"Proses potongan kecil dan membungkus bahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat lapang dan tidak menyebabkan kesesakan.

"Manakala sembelihan korban selain daripada rumah sembelihan hendaklah dilaksana tidak melebihi lima ekor dalam sehari dengan bilangan petugas tidak melebihi 10 orang bagi setiap haiwan serta mengambil kira keluasan kawasan," katanya.

Mengulas berhubung agihan daging korban, Zulkifli berkata, terdapat dua kaedah yang dicadangkan iaitu penghantaran secara langsung kepada peserta dan kehadiran peserta untuk menerima daging korban.

"Penghantaran secara langsung kepada peserta yang mengambil bahagian dan fakir miskin berdasarkan senarai nama yang sudah ditetapkan.

"Manakala jumlah kehadiran peserta pengambilan bahagian tidak boleh melebihi jumlah petugas dalam satu masa mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 10:32 PM