SYED IBRAHIM SYED AHMAD
SYED IBRAHIM SYED AHMAD
Asrol Awang


PENYEMBELIH bagi ibadah korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu memiliki Sijil Tauliah Penyembelih Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perakuan sebagai penyembelih oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) diterima.

Katanya, haiwan korban perlu mendapat pengesahan atau permit daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Masjid, surau, kandang atau tempat penyembelihan korban hendaklah memohon pelaksanaan ibadah itu dengan PAID.

"Di Pahang, tempat pelaksanaan penyembelihan korban boleh dilakukan di lima Rumah Penyembelihan JPV iaitu di Kuantan, Temerloh, Bentong, Raub dan Lipis.

"Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta pula dua di Pekan, manakala masing-masing satu di Jengka, Maran dan Muadzam Shah, Rompin.

"Penyembelihan korban di premis persendirian tidak dibenarkan," katanya menerusi Facebook (FB) mengenai garis panduan pelaksaaan ibadah korban dalam tempoh PKPP JAIP.

Beliau berkata, pihak penganjur perlu menyediakan kandang tempat meletakkan haiwan yang dihantar awal ke masjid atau surau bagi proses sembelihan.

Katanya, penganjur perlu memastikan menandakan sempadan bagi kawasan tertentu dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter seperti di tempat menyembelih, melapah, pengagihan dan kawalan.

"Penentuan jumlah ekor sembelihan bersesuaian dengan kemampuan tenaga kerja dan keluasan ruang yang ada bagi tempoh empat hari dibenarkan bagi mengelak kesesakan.

"Peserta atau petugas yang hadir mestilah sihat, tiada simptom atau gejala Covid-19.

"Kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dan berusia yang mempunyai penyakit kronik tidak dibenarkan hadir bagi mengelakkan risiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:36 PM