Isma Ismail dan Sri Kartika Ayu Amri


KERAJAAN bersetuju membuka sektor sukan air dan kolam untuk aktiviti latihan tanpa sentuhan fizikal bermula 25 Jun ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti latihan renang termasuklah terjun dan menyelam dibenarkan di kolam renang mengikut sesi yang ditetapkan dan dihadkan jumlah orang pada setiap sesi mengikut kapasiti kolam.

Menurutnya, ia adalah untuk atlet kebangsaan, negeri dan perenang kelab dan akademi renang dalam program latihan tertentu.

"Atlet atau peserta dalam aktiviti latihan renang perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi antaranya pendaftaran aplikasi MySejahtera, penjarakan sosial tiga hingga lima meter ketika aktiviti latihan di dalam kolam renang dan meninggalkan premis atau tempat latihan secepat mungkin selepas aktiviti latihan.

"SOP turut menetapkan aktiviti renang dilakukan dalam kolam yang standard untuk latihan dan pertandingan serta dipastikan pengguna terlebih dahulu membersihkan diri sebelum menggunakan kolam," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

Selain itu, Ismail berkata, SOP am pengurusan yang perlu dipatuhi oleh operator kolam renang pula adalah kawalan had jumlah perenang di dalam kolam renang dan di bilik mandi atau persalinan, operator kolam juga perlu memastikan ujian tahap klorin dalam kolam renang dilakukan setiap 2 jam operasi bagi memastikan ia berada pada tahap optima mengikut piawaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, operator kolam renang, kelab dan akademi renang juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (Miti) di laman web NOTIFICATION.MITI.GOV.MY untuk tujuan pematuhan kepada SOP dan pantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk membenarkan kolam renang di tempat terkawal seperti kolam renang persendirian di kediaman dan 'gated community' serta kolam renang awam di hotel atau kelab rekreasi.

"Namun, kebenaran ini tertakluk kepada SOP kolam renang dan antara syarat yang perlu dipatuhi adalah menyediakan petugas untuk memastikan jumlah pengguna kolam renang terkawal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 4:02 PM