Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 54 taman tema di seluruh negara dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai ini, namun perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengusaha semua taman tema itu wajib memastikan SOP dilaksana setiap masa termasuk penjarakan sosial.

"Had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema berkenaan dan dijangka kira-kira 10,000 tenaga kerja yang akan bekerja," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengunjung menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan pemeriksaan suhu badan, selain cecair pembasmi kuman disediakan pengusaha.

"Bagi pengusaha taman tema air khususnya, mereka perlu mengikut garis panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta garis panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

"Garis panduan serta SOP boleh diperoleh menerusi laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac)," katanya.

Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 3:10 PM