Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat ketetapan itu bagi memudahkan rakyat khususnya golongan bujang mendapatkan makanan untuk bersahur.

Menurutnya, keputusan itu juga bagaimanapun tertakluk kepada syarat lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

"Kerajaan memahami kesukaran golongan khususnya bujang untuk mendapatkan makanan untuk bersahur.

"Kebenaran operasi sehingga jam 6 pagi ini hanya tertakluk sepanjang Ramadan saja," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau berkata, kebenaran penganjuran majlis berbuka puasa seperti di hotel dan premis lain juga dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, kapasiti tetamu juga perlu mengikut kebenaran ditetapkan kerajaan selain menyediakan pramusaji untuk juadah bufet.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Penjarakan sosial dan susunan meja sejauh dua meter setiap satu perlu dipatuhi selain memerlukan pemantau untuk memastikan tetamu mematuhi SOP.

"Kerajaan juga memahami terdapat penganjuran majlis berbuka puasa anjuran kementerian dan syarikat namun pematuhan SOP ketat perlu dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 6:32 PM