Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Semua aktiviti riadah, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti hiburan termasuk kelab malam, pusat rekreasi, taman tema, taman permainan dalaman (indoor playground) dan panggung wayang juga tidak dibenarkan.

"Aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan atau kejohanan tidak dibenarkan.

"Acara atau pertandingan sukan dengan kehadiran penonton dan acara atau pertandingan sukan membabitkan peserta dari luar negeri juga tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, aktiviti sukan secara individu, e-sukan, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan luar yang tidak melebihi 10 orang pemain dibenarkan.

Beliau berkata, bagi program latihan berpusat yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri-Negeri boleh diteruskan secara penilaian berasaskan kuarantin.

"Ia seperti dilaksanakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara serta Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
GAMBAR hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:55 PM