Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak membabitkan sentuhan dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu diberikan namun perlu mematuhi standard operasi prosedur (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP termasuk latihan persediaan pasukan dan permainan sukan.

"Aktiviti sukan yang tidak membabitkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain. Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri disiarkan secara langsung di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beberapa aktiviti sukan yang membabitkan perhimpunan ramai dan sentuhan masih tidak dibenarkan.

"Masih tidak dibenarkan ialah permainan sukan atau permainan membabitkan perhimpunan penyokong atau penonton ramai seperti di stadium, sukan renang, kolam renang awam.

"Sukan bersentuhan seperti ragbi, tinju, bola sepak, bola keranjang, hoki dan lain-lain," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 3:32 PM