BAKRI Sawir (dua dari kiri) ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke ladang ternakan Konsortium Kariah Masjid Malaysia Berhad (Konsormas) di Kampung Kuala Jerang. FOTO BERNAMA
BAKRI Sawir (dua dari kiri) ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke ladang ternakan Konsortium Kariah Masjid Malaysia Berhad (Konsormas) di Kampung Kuala Jerang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PELAKSANAAN ibadat korban di Negeri Sembilan dibenarkan, namun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai kerajaan negeri dalam mesyuarat exco semalam, selaras dengan keputusan Kerajaan Pusat.

"Tetapi sesiapa yang membuat ibadat korban kena betul-betul menjaga SOP, sebab kita tidak mahu nanti ada kluster korban di negeri ini.

"Kita membenarkan (ia dilaksanakan) di masjid, surau serta tempat yang difikirkan sesuai oleh pengusaha, tetapi perlu ikut SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan secara spesifiknya kita akan keluarkan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan Konsortium Kariah Masjid Malaysia Berhad (Konsormas) di Kampung Kuala Jerang, dekat Jelebu, hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan akan berlaku kenaikan harga jualan lembu menjelang Aidiladha, Bakri berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenainya dan perkara itu akan sentiasa dipantau bersama JPV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:39 PM