ABDUL Fattah (berbaju biru) ketika melawat Ladang Ternakan milik KONSORMAS bertempat di Kampung Kuala Jerang. FOTO IHSAN ANGKASA
ABDUL Fattah (berbaju biru) ketika melawat Ladang Ternakan milik KONSORMAS bertempat di Kampung Kuala Jerang. FOTO IHSAN ANGKASA
Redzuan Muharam


ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerusi Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad (KONSORMAS) giat menambah bekalan lembu korban untuk diagihkan pada Hari Raya Aidiladha akan datang.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, KONSORMAS juga mengambil langkah proaktif membuat pajakan Ladang Satelit Nasional di Kampung Kuala Jerang, Mukim Triang Hilir, Jelebu.

Katanya, pajakan ladang seluas 8.09 hektar itu sudah diluluskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu bagi memastikan bekalan lembu mencukupi.

"KONSORMAS akan membantu koperasi asas mendapatkan bekalan lembu korban atau lembu daging pada kadar murah serta berkualiti.

"Ia juga sudah sudah menjalankan perkhidmatan 'Quick Win' bagi membekal dan mengedar lembu korban kepada koperasi fidlot seluruh negara yang berminat pada 2018 dan 2019.

"Pada 2018 lalu, hanya sebuah Koperasi Kariah Masjid (KKM) turut serta dan ia membabitkan 30 ekor lembu korban bernilai RM116,636," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Ladang Ternakan milik KONSORMAS di Kampung Kuala Jerang, Mukim Triang Hilir, Jelebu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Bakri Sawir.

Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 11 KKM membekalkan 501 ekor lembu korban bernilai hampir RM2 juta.

Katanya, sehingga kini, KONSORMAS sudah membekalkan sejumlah 675 ekor lembu korban kepada koperasi di zon utara, zon tengah dan selatan.

"Setiap KKM yang sudah berdaftar perlu mempunyai daya usaha untuk menjayakan koperasi masing-masing bagi membangunkan ekonomi setempat.

"Kejayaan KKM secara tidak langsung memberi peluang untuk memajukan kariah masjid selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:02 PM