GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

BILANGAN petugas yang ditetapkan bagi menguruskan ibadat korban di Pulau Pinang dihadkan kepada 10 individu bagi setiap penyembelihan seekor lembu, kerbau atau unta.

Sementara, penyembelihan kambing pula dihadkan kepada empat petugas.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Zulkifli Long berkata, tempoh yang dibenarkan bagi pengurusan ibadat itu antara 8 pagi hingga 6 petang.

Katanya, jumlah haiwan yang ingin dikorbankan tidak dihadkan, tetapi bergantung kepada keluasan kawasan.

"Petugas juga tidak dibenarkan berkongsi peralatan kerja penyembelihan, melapah dan memotong serta perlu membawa sendiri peralatan yang sudah disanitasi.

"Pengurusan ibadat itu perlu melalui permohonan dan kelulusan daripada Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing yang menjadi syarat utama kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)," katanya kepada NSTP, hari ini.

Katanya, penetapan garis panduan berkenaan adalah seiring dengan normal baharu dalam mengekang penularan Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, pengesahan penyertaan, penyempurnaan akad atau wakalah dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian.

Katanya, peserta juga tidak dibenarkan berada dalam kawasan pengurusan korban dan boleh hadir secara berperingkat bagi mengambil bahagian korban masing-masing.

"Aktiviti akikah, memasak daging korban atau jamuan di tempat pelaksanaan juga tidak dibenarkan.

"Petugas dan peserta perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan sarung tangan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata, pintu masjid dan surau akan dibuka satu jam sebelum solat Aidiladha dan ditutup selepas selesai bacaan doa.

Katanya, selain memasuki masjid dan surau secara bergilir-gilir serta mengikut penjarakan sosial, jemaah juga dinasihati supaya tidak bersalaman dan terus pulang ke rumah selepas selesai solat.

"Penggunaan pembesar suara luar bagi takbir hari raya juga dibenarkan sebelum solat sunat dan selepas solat fardu sepanjang hari tasyrik.

"Khutbah hari raya hendaklah ringkas dan imam digalakkan membaca surah pendek dengan keseluruhan tempoh selama 30 minit," katanya.

Selain perlu merekod kehadiran, jemaah yang mahu menunaikan solat sunat Aidiladha juga perlu membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:33 PM