Mahaizura Abd Malik dan Redzuan Muharam

SERANGAN pandemik Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia memberi cabaran baharu buat golongan pendidik dalam mendidik anak murid dan pelajar masing-masing.

Biarpun kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan penutupan semua sekolah, segelintir guru segera mengambil inisiatif meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara atas talian demi memastikan murid serta pelajar mereka tidak tercicir.

Selepas kerajaan melonggarkan PKP dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), golongan berkenaan tidak lagi menoleh ke belakang, malah ada antara mereka sanggup bergerak ratusan kilometer ke kawasan penempatan murid di pedalaman untuk menghantar dan mengutip buku latihan.

Komitmen jitu golongan pendidik itu jelas membuktikan mereka bukan sahaja bertanggungjawab dengan amanah dalam menyampaikan ilmu. Sebaliknya, sanggup berkorban masa, tenaga dan wang memastikan murid dan pelajar dapat menimba ilmu biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Istimewa bersempena Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei, Harian Metro berpeluang menyelami cabaran dan pengorbanan empat guru dalam mendidik anak bangsa.

Guru Matematik dan Pendidikan Muzik - Vianney Jainol (SK Pangi, Tenom, Sabah)

Biarpun terperangkap di kampungnya di Tambunan sejak PKP dikuatkuasakan bukanlah halangan untuk Vianney terus mengajar anak muridnya.

Halangan utamanya adalah masalah gangguan talian telekomunikasi yang kurang stabil di kawasan penempatan anak muridnya di Tenom, Sabah.

Disebabkan itu, Vianney berkata, dia terpaksa memberi kelonggaran kepada anak muridnya terutamanya yang tiada telefon bimbit supaya menghantar kerja rumah mengikut kesesuaian masa masing-masing.

"Kebanyakan anak murid saya suku Murut tinggal di pedalaman namun mereka bersemangat belajar ketika PKP cuma keadaan (talian Internet dan gangguan telekomunikasi) jadi penghalang," katanya.

Menurutnya, disebabkan talian internet tidak stabil, anak murid terpaksa mendaki bukit dan atau tempat tinggi untuk memastikan talian kembali lancar.

VIANNEY bergambar bersama anak muridnya di sekolah.
VIANNEY bergambar bersama anak muridnya di sekolah.

"Ada juga dalam kalangan mereka hanya berpeluang belajar pada waktu malam atau hujung minggu sahaja kerana sebelah siang telefon bimbit dibawa ibu bapa ke kebun. Ada juga yang terpaksa harap ihsan bantuan rakan sekelas menjadi perantara. Jadi, dalam kes macam ini saya bagi kelonggaran hantar bila-bila masa mereka siap," katanya.

Katanya, walaupun PKP menyukarkannya, tetapi ia tidak mematahkan semangat terus mendidik anak murid selain menjadikannya lebih kreatif dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"Selain nota dan latihan dalam bentuk soalan, kadangkala ada bab saya rakam video dan hantar melalui WhatsApp kepada anak murid saya kerana Matematik banyak membabitkan formula pengiraan.

"Untuk Pendidikan Muzik, saya akan beri latihan visual contohnya mereka perlu merakam aktiviti nyanyian bersama keluarga mereka dan sebagainya," katanya yang sudah lima tahun mengajar di sekolah berkenaan.

Berkongsi keunikan mengajar di pedalaman, Vianney berkata, dari rumah sewa ke sekolah itu mengambil masa setengah jam jika menaiki kereta api, namun kadang kala dalam sebulan sekali perlu guna kaedah lain untuk ke sekolah kerana kenderaan itu kerap rosak.

MURID dan guru SK Pangi melalui sungai untuk ke sekolah.
MURID dan guru SK Pangi melalui sungai untuk ke sekolah.

Guru Bahasa Inggeris - Muhammad Aisham Azahar (SK Pos Gedong, Bidor, Perak)

Sejak pelaksanaan PKPB, Muhammad Aisham akan menunggang motosikalnya dari rumah sewanya di Bidor ke perkampungan Orang Asli Pos Gedong untuk menghantar salinan latihan kerja sekolah dari rumah ke rumah anak muridnya, setiap Isnin.

Pada hujung minggu, pemuda itu kembali semula ke perkampungan itu bagi mengutip hasil kerja anak muridnya untuk semakan pembetulan sebelum menyerahkan latihan baharu.

Guru yang mesra disapa Aisham itu berkata, kemudahan komunikasi dan internet yang terbatas di kawasan pedalaman membuatkan dia perlu melakukan rutin itu demi memastikan anak muridnya tidak tercicir mata pelajaran.

"Saya tiada pilihan inilah termampu dilakukan kerana kemudahan komunikasi terhad dan tiada talian internet di kawasan tempat tinggal mereka. Untuk mereka, saya akan sediakan soalan latihan melalui bahan rujukan seperti contoh soalan format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Setakat ini, mereka memberikan komitmen dan biasanya jika sempat saya akan berikan penerangan tentang kesilapan dibuat atau menulis di bahagian ruangan latihan itu sebelum dihantar semula kepada mereka ketika memberikan latihan baharu," katanya.

MUHAMMAD Aisham melawat anak muridnya di perkampungan Orang Asli Pos Bedong.
MUHAMMAD Aisham melawat anak muridnya di perkampungan Orang Asli Pos Bedong.

Aisham berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid Orang Asli tidak sama apabila perlu dibimbing secara bersemuka dan pendekatan lebih kreatif.

"Bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga Orang Asli. Lazimnya mereka nak faham bahasa Melayu pun mengambil masa jadi kami (guru) masukkan elemen nyanyian dan muzik untuk menarik minat mereka. Namun kini, kaedah itu terpaksa digantikan dengan latihan berbentuk soalan.

"Apa yang membimbangkan, ketika ini ada segelintir anak murid mengikuti keluarga mereka masuk ke hutan lebih dalam kerana bimbang dengan penularan wabak.

"Inilah yang sedang saya bincangkan dengan guru besar bagaimana memastikan anak-anak ini tidak terus pelajaran kerana mereka perlu sentiasa dibimbing," katanya.

Katanya, dia menganggap tahun kelima ini paling mencabar sepanjang kariernya namun sedikit pun tidak mematahkan semangatnya terus menggalas tanggungjawab sebagai pendidik.

"Walaupun kena buat semuanya secara manual, saya anggap cabaran ini sebagai satu pengalaman baharu dan menaikkan lagi semangat saya dalam mendidik," katanya.

SEBAHAGIAN guru dan pelajar di SK Pos Gedong.
SEBAHAGIAN guru dan pelajar di SK Pos Gedong.

Guru Matematik dan Reka Bentuk dan Teknologi - Muhammad Saffuan Jaffar (SK Dato Sharif Hamid Marudi, Sarawak)

Berjauhan dengan ibu yang tinggal sendirian di Sungai Nibong, Pulau Pinang adalah pengorbanan Muhammad Saffuan sejak ditugaskan mengajar di Sarawak pada 2015.

Namun, perasaan sedih itu diketepikannya demi tanggungjawab diamanahkan kepadanya.

Bermula dengan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sepiling, Baram selama lima tahun, Muhammad Saffuan kemudiannya ditukarkan ke SK Dato Sharif Hamid Marudi, Sarawak, Januari lalu.

Berkongsi pengalamannya mengajar di kawasan pedalaman, Muhammad Saffuan mengakui, sangat sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran pada mulanya malah hampir berputus asa kerana tidak yakin boleh melaksanakan tugas diberikan.

Katanya, bagaimanapun, pengalaman dan sokongan insan sekeliling memberinya semangat untuk mendidik murid pedalaman tanpa rasa prejudis.

"Memandangkan itu sekolah pertama saya, banyak yang saya rancangkan namun realitinya berbeza malah lebih sukar sebaik menjejakkan kaki kerana perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang di luar kelaziman misalnya masalah bekalan air selain adat serta budaya masyarakat tempatan," katanya.

Menurutnya, sebagai anak tunggal, bukan mudah untuk meninggalkan ibunya, Masiah Saaid, 62, sendiri lebih-lebih lagi selepas kematian ayahnya, 23 tahun lalu.

"Bayangkan, apabila murid sakit, saya yang membawa mereka ke klinik, tetapi ibu saya sendiri tanpa dijaga sesiapa. Namun, itulah cabarannya sebagai pendidik," katanya.

MUHAMMAD Saffuan bergambar dengan anak muridnya ketika hari terakhir di SK Long Sepiling, Baram, Sarawak.
MUHAMMAD Saffuan bergambar dengan anak muridnya ketika hari terakhir di SK Long Sepiling, Baram, Sarawak.

Di sebalik cabaran dilalui, Muhammad Saffuan bersyukur kerana diberi kepercayaan membimbing murid SK Long Sepiling mencipta kejayaan hingga berpeluang mewakili negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa di Tokyo, Jepun pada 2017.

"Antara kenangan manis tidak dapat saya lupakan adalah apabila SK Long Sepiling menjuarai pertandingan mencipta video, Kid Witness News peringkat kebangsaan. Kemenangan itu melayakkan kami bertanding mewakili negara. Saya bersama seorang murid berpeluang ke Jepun bagi mempersembahkan video kami iaitu nikmat tangan,

"Meskipun tidak mendapat tempat di peringkat antarabangsa, pencapaian itu mendapat perhatian dan pujian Datuk Seri Mahzir Khalid (bekas Menteri Pendidikan) yang kagum dengan kejayaan murid walaupun berada di sekolah pedalaman," katanya.

MUHAMMAD Saffuan bersama anak muridnya yang terpilih mewakili Malaysia di Tokyo, Jepun dalam pertandingan Kid Witness News peringkat antarabangsa.
MUHAMMAD Saffuan bersama anak muridnya yang terpilih mewakili Malaysia di Tokyo, Jepun dalam pertandingan Kid Witness News peringkat antarabangsa.

Mengulas mengenai PKPB, Muhammad Saffuan mengakui terpaksa menggunakan cara lebih kreatif untuk mencurahkan ilmu kepada anak muridnya.

Katanya, dia menghargai pengalaman sepanjang menjadi guru di sekolah pedalaman.

"Peluang mengajar di Sarawak tidak mungkin saya lupakan kerana di sinilah bermulanya kerjaya sebagai guru," katanya.

"Pengalaman itu banyak mendidik saya menjadi seorang yang penyabar dan kreatif di samping peluang mempelajari budaya masyarakat di sini," katanya.

Guru Muzik, Kesenian dan Sejarah - Mohd Huzaire Ahmad (SK Felda Mempaga 2, Karak, Pahang)

Zahirnya, Mohd Huzaire dilihat berkerusi roda namun semangatnya besar untuk terus bergelar pendidik bagi mencurahkan ilmu kepada anak murid.

Malah, Mohd Huzaire tiada masalah menyesuaikan diri mengajar di sekolah meskipun pergerakannya terbatas kerana lumpuh separuh badan.

Ini kerana guru berusia 44 tahun itu berazam membuktikan kemampuan sejak hari pertama menggalas tanggungjawab sebagai pendidik.

"Saya dilahirkan normal tetapi bergelar OKU pada usia 24 tahun selepas jatuh pokok yang menyebabkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah. Ibu dan ayah sedih dengan apa yang berlaku, tetapi saya reda kerana hidup perlu diteruskan.

"Keyakinan saya datang daripada keinginan membuktikan keupayaan dan pengalaman sepanjang bergelar guru," katanya.

MOHD Huzaire mengajar anak muridnya bermain kompang.
MOHD Huzaire mengajar anak muridnya bermain kompang.

Berkongsi pengalamannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Mohd Huzaire berkata, dia berhubung dengan murid menerusi Whatsapp dan Telegram.

Manakala, perkongsian video dimuat naiknya menerusi saluran YouTube.

"Memandangkan sekolah belum dibuka, saya perlu menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian. Buat masa ini, saya gunakan Youtube bagi memuat naik bahan pembelajaran dalam bentuk video contohnya berkaitan kaedah bermain rekoder, perkusi dan alat permainan tradisional," katanya.

Mohd Huzaire berkata dia pernah meraih beberapa pencapaian antaranya Anugerah Khas sempena Hari Guru Negeri Pahang 2005 Anugerah Guru Inovatif Peringkat Negeri Pahang 2009, Anugerah Guru OKU Cemerlang Peringkat kebangsaan 2010, Anugerah Khas sempena Konvokesyen Intistut Perguruan Malaysia (IPG) 2015, Anugerah Tokoh OKU Cemerlang Negeri Pahang 2018 dan Duta Guru Nadi Negara.

MOHD Huzaire bersama anugerah pernah diterimanya.
MOHD Huzaire bersama anugerah pernah diterimanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 8:01 AM