Raja Noraina Raja Rahim


PROSEDUR operasi standard (SOP) yang membenarkan hanya 20 orang dalam satu rumah masih terpakai sehingga kini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, walaupun rentas negeri dibenarkan kerajaan dan ramai yang pulang ke kampung bersama keluarga tetapi SOP sedia ada perlu dipatuhi.

Menurutnya, kerajaan masih kekal dengan keputusan aktiviti ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama saja.

Katanya, tiada ziarah dibenarkan lagi walaupun kebiasaan raya disambut sebulan.

ISMAIL Sabri Yaakob
ISMAIL Sabri Yaakob

"Saya tahu ramai yang balik ke kampung akan berada di rumah ibu bapa masing-masing atau mungkin pergi ke rumah saudara-mara dan sebagainya.

"Tetapi SOP asas kita tetap kekal iaitu penjarakan sosial, kerap cuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman serta sentiasa memakai pelitup muka.

"Oleh kerana penjarakan sosial, kalau boleh tidak perlu ramai di dalam satu rumah kerana lebih ramai yang berada di dalam rumah dengan keadaan tertutup ianya lebih membahayakan," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, SOP hanya membenarkan tidak melebihi 20 orang dalam satu rumah bergantung kepada keluasan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 3:30 PM