Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sambutan Deepavali dibenarkan di kuil dengan kapasiti 30 pengunjung pada satu masa.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sama seperti Aidilfitri dan Aidiladha, sambutan Deepavali esok sangat berbeza berbanding sebelum ini.

"Kapasiti yang dibenarkan adalah 30 orang untuk satu masa dengan diselang seli sanitasi kuil selama 30 minit yang akan membabitkan lima sesi dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.

"Sambutan di rumah juga dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial tetamu 20 orang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula hanya ahli keluarga di dalam satu rumah itu saja dibenarkan merayakan Deepavali," katanya dalam sidang media harian di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan SOP dipatuhi.

Katanya, PDRM akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) dan orang ramai tidak dibenar melakukan rentas negeri serta daerah untuk menyambut perayaan Deepavali.

"Saya ingin mengingatkan sekali lagi bahawa semua yang menyambut Deepavali perlu mematuhi SOP musim perayaan.

"Tak ada banyak perbezaan SOP Deepavali dan perayaan lain. Saya tidak mahu ada pihak meniup isu perkauman. SOP dibuat untuk menjaga keselamatan dan nyawa rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 5:42 PM