ORANG ramai mula beratur pada 11.30 pagi bagi mendapatkan giliran menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra. FOTO Samadi Ahmad
ORANG ramai mula beratur pada 11.30 pagi bagi mendapatkan giliran menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


ORANG ramai meluahkan rasa bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat buat pertama kalinya di Masjid Putra, Putrajaya selepas lebih tiga bulan tidak dibenarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan mendapati orang ramai mula berbaris di luar pintu masuk masjid sejak 11.30 pagi bagi mendapatkan giliran memasuki masjid.

Jemaah juga dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan penjarakkan sosial ketika berbaris dan memeriksa suhu badan serta menggunakan cecair nyah kuman di kaunter masuk.

Menurut jurucakap masjid, 1,000 jemaah dibenarkan masuk dan orang ramai yang hadir juga menyatakan telah mengambil wuduk dan membawa sejadah masing-masing.

Pesara syarikat swasta, Mohamed Naguib Adnan, 60, dari Taman Putra Perdan, Puchong, berkata beliau merasakan sebak dan gembira dapat menunaikan solat Jumaat pada hari ini selepas lebih tiga bulan tidak dapat mengadakan secara berjemaah.

Menurut Naguib, beliau mula berbaris pada 11.30 pagi bagi mendapat giliran dan tidak mahu terlepas peluang untuk mengadakan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Katanya, walaupun datang jauh disebabkan tiada masjid yang dibuka di kawasan kediamanya,namun beliau bersyukur diberikan peluang mengerjakan secara berjemaah pada hari ini.

"Saya mendapat tahu pengumuman pembukaan Masjid Putra ini melalui media semalam, jadi peluang ini saya tidak lepaskan dan bersyukur masjid dibuka semula untuk aktiviti keagamaan," katanya.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan negara beralih kepada 'normal baharu' dengan melonggarkan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memberi peluang orang ramai hadir solat berjemaah.

Menurut beliau,pembukaan Masjid Putra, Putrajaya adalah selepas pengurusan masjid menerima nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini diletakan di bawah zon hijau, manakala Masjid Tuanku Mizan SultanZainal Abidin (MTMSZA) masih ditutup untuk aktiviti keagamaan kerana masihberada dalam zon kuning.

Sementara itu, Mohd Aidi Talib, 45, dari Kajang berkata, beliau turut merasa gembira dan sedih selepas mendapat peluang mengerjakan solat Jumaat di masjid ini.

Mohd Aidi berkata,beliau datang awal pada 11.45 pagi bersama anak, Ahmad Hafriz, 16, bagi tidak terlepas peluang mengerjakan solat Jumaatselepas hampir tiga bulan mengerjakan solat zuhur di rumah.

Menurut beliau,walaupun Masjid Jamek, Kajang dibuka untuk aktiviti keagamaan, namun jumlah jemaah masih dihadkan kepada 40 orang menyebabkan beliau datang ke Masjid Putra untuk bersolat secara berjemaah.

"Hari ini saya merasakan suatu rahmat yang besar dapat menunaikan solat Jumaat selepas menjalani PKP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 12:56 PM