GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Terengganu masih mengekalkan solat Jumaat dan berjemaah berdasarkan keluasan masjid serta surau.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), M Rozi Bidin berkata, kebenaran pelaksanaan solat di masjid dan surau itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, susulan perluasan aktiviti keagamaan dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, kehadiran jemaah hanya dibenarkan kepada ahli qariah bermastautin dan warganegara kecuali mendapat kebenaran Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri.

"Jawatankuasa masjid dan surau diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Jemaah diminta membawa sejadah sendiri untuk menunaikan solat Jumaat, selain tidak dibenarkan berhimpun selepas selesai melakukan solat," katanya.

M Rozi berkata, Sultan Mizan menitahkan semua imam masjid membaca Qunut Nazilah ketika melaksanakan solat Jumaat selain meminta semua masjid dan surau mengadakan solat sunat hajat setiap kali selepas solat Jumaat.

Katanya, semua imam dikehendaki membaca teks doa Qunut Nazilah dalam solat Jumaat dan berdoa memohon dijauhi daripada wabak penyakit disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin setiap malam selepas solat Maghrib secara berjemaah.

"Aktiviti lain di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran daripada Maidam," katanya.

Mengulas mengenai solat Jumaat dan fardu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), M Rozi berkata, solat Jumaat perlu diganti dengan solat berjemaah di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 2:49 PM