MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) menyediakan sistem tempahan dalam talian untuk mereka yang mahu mengerjakan solat Jumaat. FOTO Arkib NSTP
MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) menyediakan sistem tempahan dalam talian untuk mereka yang mahu mengerjakan solat Jumaat. FOTO Arkib NSTP
Agensi

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyediakan sistem tempahan dalam talian untuk mereka yang mahu mengerjakan solat Jumaat.

Berita Harian Singapura melaporkan, bagaimanapun katanya, orang ramai mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk memasuki sistem itu kerana jumlah trafik yang tinggi.

"Laman (tempahan) berkenaan mula dibuka 9 pagi tadi dan ia menerima jumlah trafik yang agak tinggi.

"Kami menggalakkan orang ramai untuk terus mencuba dan sehingga kini sudah ada individu yang berjaya mendapat tempat mereka," kata Muis dalam hantaran di Facebook.

Solat Jumaat disambung semula di masjid-masjid Jumaat ini tetapi setiap sesi dihadkan kepada 50 orang dan hanya mereka yang telah membuat tempahan slot secara dalam talian akan dibenarkan untuk solat berjemaah.

Selepas membuat tempahan, e-mel pengesahan akan dikirimkan kepada jemaah.

Sementara itu, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menasihatkan umat Islam Singapura supaya menjaga keselamatan ketika mengerjakan solat Jumaat.

Ini kerana Singapura masih mempunyai risiko jangkitan Covid-19.

Menurutnya, pembukaan semula masjid untuk solat Jumaat adalah titik penting dalam usaha memerangi Covid-19.

"Marilah kita bersyukur kepada Allah kerana kita sudah mencapai tahap penting ini dan kita kini boleh menegakkan syiar agama yang penting ini.

"Alhamdulillah, jika saya dapat peluang menjadi imam, saya tidak lagi bersendirian dalam masjid," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:24 PM