MUHAMAD sayu setiap kali melaungkan azan tanpa kehadiran jemaah. FOTO Mohd Rafi Mamat
MUHAMAD sayu setiap kali melaungkan azan tanpa kehadiran jemaah. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PERASAAN sayu bercampur sebak hadir di hati bilal masjid apabila laungan azannya tidak dapat menarik kehadiran jemaah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Ini diakui Muhamad Abd Rahman, 41, yang bertugas di Masjid Saidina Ali Abi Talib, Bukit Sekilau, Kuantan apabila merasa kekok selepas laungan azannya sejak bulan lalu seolah-olah tidak dihiraukan.

Menurutnya, pada peringkat awal dia seperti tidak percaya apabila masjid ditutup dengan semua aktiviti termasuk solat berjemaah.

Katanya, PKP adalah kali pertama dalam sejarah negara apabila azan boleh dilaungkan, tetapi jemaah tidak dibenarkan datang ke masjid untuk menunaikan solat.

"Kebiasaannya sebelum saya melaungkan azan, masjid sudah penuh kerana jemaah terus menunaikan solat sebaik sahaja saya selesai azan, namun situasi berbeza sejak PKP.

"Sejak 18 Mac lalu, Allah uji kita dengan ujian tidak pernah dibayangkan sebelum ini, perasaan sayu muncul apabila selesai azan dan bila toleh ke belakang, tiada jemaah bersama saya untuk solat," katanya yang lebih 12 tahun bertugas sebagai bilal.

Beliau berkata, pernah sebelum ini selepas azan dia menangis kerana insaf sambil memikirkan ujian berat diberikan Allah.

Katanya, sebelum ini semua masjid meriah setiap kali Ramadan, namun berbeza tahun ini, aktiviti solat sunat terawih tidak dapat dilakukan selepas mendapat arahan pihak berkuasa.

"Walaupun kebenaran menunaikan solat Jumaat di Pahang diberikan pada hari ini, ia hanya membabitkan tiga masjid sahaja dan jemaah pula beberapa individu sahaja.

"Saya yakin ramai ingin datang ke masjid untuk mengerjakan solat lima waktu secara berjemaah selain solat Jumaat dan terawih, namun dalam keadaan sekarang semua pihak perlu faham bahayanya virus Covid-19.

"Justeru arahan kerajaan semua ibadah perlu dilakukan di rumah perlu dipatuhi, jangan kita mengundang tindakan undang-undang, sebaliknya perlu bersabar dan berdoa supaya Allah segera pulihkan negara ini daripada ancaman wabak Covid-19," kata bapa kepada enam cahaya mata itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 4:08 PM