JEMAAH terpilih menghadiri solat Jumaat dilihat mematuhi SOP dengan melakukan penjarakan sosial semasa berbaris dan memeriksa suhu badan serta mengisi nama di kaunter masuk di Masjid Ar-Raudhah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
JEMAAH terpilih menghadiri solat Jumaat dilihat mematuhi SOP dengan melakukan penjarakan sosial semasa berbaris dan memeriksa suhu badan serta mengisi nama di kaunter masuk di Masjid Ar-Raudhah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


HANYA pengerusi surau dan wakil taman perumahan dibenarkan menghadiri solat Jumaat di Masjid Ar-Raudhah, di Tanjung Karang, hari ini, selepas hampir tiga bulan masjid itu ditutup kepada jemaah.

Jemaah juga dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan penjarakan sosial semasa berbaris dan memeriksa suhu badan serta menggunakan cecair nyah kuman di kaunter masuk.

Nazir Masjid Ar Raudhah, Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin berkata, pihaknya memanggil pengerusi surau dan wakil taman perumahan menghadiri solat Jumaat yang keseluruhan terhad kepada 40 jemaah.

"Kita sudah bersetuju untuk meminta wakil daripada surau dan taman perumahan menghantar jemaah masing-masing bagi menunaikan solat Jumaat.

"Kita juga mengadakan sistem di mana jemaah yang dipilih akan diberikan kad yang disahkan oleh pihak surau dan taman perumahan. Kad itu perlu dibawa ketika hadir ke masjid untuk pendaftaran kehadiran," katanya ketika ditemui wartawan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar.

Pesara kerajaan, Mohd Yusof Mohammad, 68, dari Batu 8, Tanjong Karang berkata, dia merasa sebak dan gembira dapat terpilih menunaikan solat Jumaat selepas lebih tiga bulan tidak dapat mengadakan secara berjemaah.

"Saya memang tertunggu bila dapat berjemaah di masjid ini (Masjid Ar-Raudhah), lebih-lebih lagi untuk solat fardu dan solat Jumaat.

"Kebetulan saya menjadi ahli jawatankuasa (AJK) di surau kampung sendiri, jadi pihak surau memilih tiga orang termasuk saya untuk hadir. Syukurlah Allah mudahkan segala urusan," katanya.

Kelmarin Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan penambahan bilangan jemaah untuk solat Jumaat dan fardu di masjid seluruh negeri itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan berkata, kehadiran jemaah dinaikkan sehingga 150 orang di 38 masjid bagi solat fardu berjemaah.

"Baginda juga mengizinkan semua masjid yang berada dalam Zon Hijau untuk mengadakan solat Jumaat, sementara solat fardu berjemaah hanya untuk Subuh, Maghrib dan Isyak.

"Untuk masjid di zon hijau, jemaah dihadkan kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid," katanya.

Sementara itu, AJK Masjid Ar-Raudhah, Shafie Sadikan, 56, berkata, beliau bersyukur Allah memberi peluang kepadanya untuk hadir berjemaah dalam tempoh PKP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 5:41 PM