SEBAHAGIAN jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar, Selangor tadi.
SEBAHAGIAN jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar, Selangor tadi.
Amirul Aiman Hamsuddin


"SOLAT Jumaat hari ini adalah kali pertama dilakukan selepas lebih tiga bulan tidak dapat menunaikannya," ujar pemandu lori, Muhammad Rasz Iskandar Mohammad Razali, 26.

Dia berkata, peluang dan kegembiraan menunaikan solat Jumaat selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

"Alhamdulillah, Allah SWT mengizinkan saya untuk menunaikan ibadah ini dan ia satu rahmat serta nikmat.

"Hari ini saya datang seawal jam 12 tengah hari bagi mengelak terlepas peluang berikutan pihak masjid menggunakan sistem nombor. Hanya 500 jemaah sahaja dibenarkan berada di dalam masjid," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar, Selangor.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kebenaran menunaikan solat Jumaat menerusi hebahan di masjid itu ketika menunaikan solat fardu Subuh berjemaah.

Katanya, dia bersyukur masjid itu dibuka semula untuk aktiviti keagamaan dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi kelonggaran untuk menunaikan ibadah seperti biasa.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau di Selangor dibuka untuk solat Jumaat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor juga berkenan semua masjid dan surau dibuka untuk solat fardu lima waktu secara berjemaah.

Bagaimanapun, ia mesti mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Nazir Masjid Taman Padu Permai, Muhammad Ali Manjok berkata, seramai 500 jemaah dibenarkan masuk bagi menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih ramai jemaah dapat menunaikan solat Jumaat di masjid yang mampu memuatkan kira-kira 1,700 jemaah sekiranya negara berjaya menangani wabak Covid-19 pada masa akan datang.

"Kita lihat perasaan teruja pada jemaah, malah ada dalam kalangan mereka sudah berpusu-pusu datang ke masjid seawal jam 12 tengahari tadi (semalam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 8:55 PM