KERAJAAN negeri Melaka membenarkan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid dan surau dengan bilangan jemaah kurang 40 peratus daripada had kemampuan sebenar.
KERAJAAN negeri Melaka membenarkan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid dan surau dengan bilangan jemaah kurang 40 peratus daripada had kemampuan sebenar.
Oleh Hassan Omar


KERAJAAN negeri hari ini membenarkan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid dan surau dengan bilangan jemaah kurang 40 peratus daripada had kemampuan sebenar rumah ibadat berkenaan mulai esok.

Selain itu, kerajaan negeri turut membenarkan aktiviti keagamaan dilaksanakan di masjid dan surau.

Ia berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan mulai semalam hingga 31 Ogos ini dan sebarang perubahan selepas PKPP akan diumumkan kemudian.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali pada kenyataan berkata, kedudukan saf mesti berdasarkan penjarakan sosial.

"Contoh, jika kapasiti asal masjid ialah 400 jemaah, maka bilangan maksimum jemaah tidak boleh melebihi 160 dan bagi masjid besar, had maksimum jemaah hanya 250," katanya.

Beliau berkata, kadar itu tertakluk kepada kemampuan pengurusan rumah ibadat melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, kebenaran itu diberikan melalui Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-6 yang bersidang melalui sidang video pada 9 Jun lalu dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 9 Jun lalu.

"Bagaimanapun, kebenaran itu tidak terpakai di kawasan diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Bagi mematuhi kebenaran itu, jemaah diminta berwuduk di rumah, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.

Katanya, beberapa surau akan diberikan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP dengan mematuhi garis panduan ditetapkan dan kebenaran bertulis MAIM serta berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.

"Semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan boleh dibuat di masjid dan surau kecuali aktiviti yang dilarang seperti kenduri, gotong-royong dan seumpamanya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri membenarkan kuliah Maghrib, Subuh dan kelas takmir tetapi jemaah mesti mematuhi penjarakan sosial," katanya.

Selain itu, kuliah Maghrib harus ditamatkan sebaik masuk waktu Isyak manakala kuliah Subuh dibuat antara 20 hingga 30 minit sahaja.

"Bagaimanapun, ceramah umum membabitkan penceramah jemputan luar tidak dibenarkan.

"Majlis akad nikah dibenarkan diadakan di masjid atau surau namun perlu mematuhi penjarakan sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 5:05 PM