Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla di negeri ini berkuatkuasa esok.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bilangan jemaah berdasarkan kapasiti sebenar selepas diambil kira keperluan penjarakan sosial satu meter antara jemaah termasuk di anjung dan perkarangan masjid, surau dan musalla.

Beliau berkata, perkara berkenaan mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V bagi Negeri Kelantan sebagai ketua agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang membenarkan solat Jumaat, solat fardu serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP).

"Pada masa sama, solat Jumaat dan solat fardu serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla dibenarkan setelah mendapat pandangan daripada Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Walau bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada pelaksanaan yang digunapakai oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla negeri yang perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bagi jemaah yang bergejala atau menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir dalam tempoh PPKP," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, jawatankuasa masjid dan jemaah juga hendaklah mengamalkan normal baharu iaitu mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah bagi mengawal penularan dan jangkitan virus Covid-19.

"Bagi membendung penularan virus ini, ahli jawatankuasa masjid perlu kerap melakukan sanitasi di ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang mengambil wuduk selain membuat penandaan jarak antara jemaah sekurang- kurangnya satu meter.

"Pada masa sama, jawatankuasa masjid, surau dan musalla hedaklah mempunyai petugas yang mencukupi bagi membantu kawalan jemaah," katanya.

Beliau berkata, pintu masjid dibuka sejam sebelum azan dan hendaklah ditutup apabila bilangan jemaah mencapai kapasiti yang maksimum.

"Kehadiran jemaah menggunakan aplikasi MySejahtera atau borang daftar hadir atau direkodkan di dalam buku kehadiran mesti disimpan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu dan perlu mengandungi maklumat seperti tarikh, waktu, nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon serta alamat tempat tinggal.

"Ketika solat Jumaat, imam perlu menyelesaikan khutbah dalam tempoh 20 minit setelah azan Jumaat dan pintu pagar ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan dan jemaah bersurai, manakala solat Ba'diah tidak dibenarkan," katanya.

"Jemaah juga perlu mengikut beberapa etikatermasuklah penjarakan sosial satu meter, memakai penutup hidung dan mulut, beratur dan mengikut giliran setiap kali masuk dan keluar masjid, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk di rumah, tidak dibenarkan bersalaman serta tidak dibenarkan berkumpul selepas selesai aktiviti samada di dalam atau di luar masjid," katanya.

Dalam perkembangan lain, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan boleh dilaksanakan kecuali aktiviti yang disenaraikan dalan aktiviti yang dilarang seperti kenduri, gotong royong, namun tertakluk kepada peraturan daripada jabatan kesihatan, pihak berkuasa tempatan serta arahan atau peraturan dari pihak bekuasa agama negeri.

"Bagi majlis ilmu, hanya kuliah Maghrib dan Subuh dibenarkan dengan syarat jemaah mematuhi penjarakan sosial dimana kuliah Maghrib ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak, manakala tazkirah Subuh pula dilaksanakan selama 15 minit sahaja.

SOLAT Jumaat di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot, Kota Bharu, 5 Jun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SOLAT Jumaat di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot, Kota Bharu, 5 Jun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 11:52 AM