MASIDI MANJUN
MASIDI MANJUN
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah membenarkan semula masjid dan surau di seluruh negeri ini termasuk dalam zon merah mengadakan semua aktiviti keagamaan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kebenaran itu selaras kelonggaran diberikan kerajaan dalam SOP baharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam hingga 20 Disember ini.

Beliau berkata, semua aktiviti termasuk solat lima waktu secara berjemaah, solat Jumaat, kuliah Maghrib, Dhuha dan lain-lain aktiviti keagamaan termasuk kelas agama dibenarkan.

"Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Mufti Sabah untuk membenarkan aktiviti di masjid dan surau ketika PKPB berkuat kuasa mulai 7 Disember hingga 20 Disember ini.

"Bagi solat lima waktu secara berjemaah, bilangan jemaah dibenarkan di masjid dan surau bagi seluruh zon di Sabah ialah satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau.

"Bagi solat Jumaat, bilangan jemaah dibenarkan mengikut keluasan dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti atau program masjid dan surau dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam seperti kuliah Maghrib, Dhuha dan sebagainya.

Menurutnya, aktiviti kelas agama dibenar diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan menjaga disiplin diri dan mematuhi semua SOP dikeluarkan pihak berwajib.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 8:20 PM