Nurul Amanina Suhaini


JOHOR membenarkan solat Jumaat, solat jemaah fardu lima waktu, solat Aidiladha serta aktiviti agama dijalankan mengikut satu pertiga kapasiti masjid dan surau bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, solat berjemaah di masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Johor dibenarkan serta hendaklah dilaksanakan mengikut pematuhan yang ditetapkan.

Katanya, bilangan jemaah solat Jumaat, solat berjemaah fardu lima waktu dan solat Aidiladha di masjid serta surau mengikut satu pertiga (1/3) kapasiti masjid mahupun surau dengan mematuhi penjarakan sosial, selain jemaah wanita juga dibenarkan menunaikan solat berjemaah.

"Kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat di masjid pada hari berkenaan dan wajib menunaikan solat zuhur di rumah.

"Solat zuhur yang ditunaikan secara berjemaah di surau pada Jumaat hendaklah dimulakan selepas solat jumaat selesai disempurnakan di masjid dan surau Jumaat.

"Solat Aidiladha dibenarkan dengan jumlah jemaah mengikut satu pertiga (1/3) kapasiti, bagaimanapun surau hendaklah mendapat kebenaran menunaikan solat daripada kadi daerah," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, di Johor Bahru, hari ini.

TOSRIN Jarvanthi (kiri) mengumumkan mengenai kebenaran waktu solat di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru.FOTO Mohd Azren Jamaludin
TOSRIN Jarvanthi (kiri) mengumumkan mengenai kebenaran waktu solat di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru.FOTO Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata, kebenaran itu berkuat kuasa sehingga satu tarikh yang akan ditentukan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sehingga kini, pelaksanaan ibadat korban dibenarkan di 31 pusat penyembelihan yang memiliki tempat penyembelihan diluluskan oleh Pejabat Kadi Daerah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah di seluruh negeri.

"Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), petugas dengan kapasiti 20 orang dalam satu masa sahaja dibenarkan bagi membuat aktiviti penyembelihan pada Aidiladha, selain jawatankuasa masjid atau surau digalakkan supaya membuat permohonan untuk menjalankan kerja penyembelihan.

"Sepanjang tempoh PKPP, semua perhimpunan bagi aktiviti agama seperti ceramah perdana dan seumpamanya di seluruh premis masjid serta surau hendaklah ditangguhkan.

"Namun, pelaksanaan aktiviti kuliah subuh dan kuliah maghrib tidak melebihi 30 minit serta bacaan Yassin, tahlil serta surah al-Kahfi pada setiap malam, selain subuh Jumaat dibenarkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan oleh MAINJ," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 3:06 PM