FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kapasiti jemaah masjid dan surau bagi solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah di Sabah ditingkatkan kepada satu pertiga daripada ruang solat, bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kebenaran itu diberikan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selaras dengan pelaksanaan PKPB yang berkuat kuasa pada 19 Februari, kerajaan negeri bersetuju membenarkan solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat di masjid dan surau dalam semua zon di Sabah.

"Kebenaran tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Masidi berkata, selain membenarkan kapasiti jemaah yang lebih ramai, kerajaan negeri turut bersetuju membenarkan aktiviti di masjid dan surau seperti kuliah Maghrib dan dhuha dalam tempoh tidak melebihi satu jam setiap sesi.

"Aktiviti kelas agama juga dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Majlis akad nikah juga dibenarkan di dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang dalam satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP. Jamuan makan dan minum dibenarkan dalam bentuk bungkusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 8:17 AM