ANGGOTA bomba memotong pokok getah yang tumbang atas sebuah rumah. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memotong pokok getah yang tumbang atas sebuah rumah. FOTO Ihsan Bomba.
Siti Rohana Idris


"BARU sahaja lima minit anak beredar dari ruang tamu dan masuk ke dalam biliknya... Kalau tidak mungkin dia sudah arwah," kata pemilik rumah yang dihempap batang getah di Taman Desa Kasih, Kuala Krai, malam tadi.

Kejadian berlaku pada 9.45 malam ketika Awang Junoh, 75, dan lima ahli keluarganya berada di rumah, sebelum dikejutkan dentuman kuat.

Katanya, ketika itu tiga cucunya sedang menonton televisyen di ruang tamu yang hanya berjarak lebih 10 meter sahaja dari bahagian yang dihempap batang getah.

"Biasanya semua cucu berada di beranda. Manakala saya dan isteri berada di dapur.

"Nasib baik anak lelaki baru saja beredar dari bahagian yang dihempap batang getah, kalau tidak tak tahu apa yang terjadi." katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan tamu di bahagian depan musnah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Pasimin, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.19 malam, dan lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Operasi membabitkan kerja memotong menggunakan mesin bagi mengalihkan pokok getah.

"Ia mengambil masa kira-kira satu jam setengah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 10:32 AM