ANGGOTA bomba melakukan sanitasi di SESMA, hari ini. FOTO ihsan SESMA.
ANGGOTA bomba melakukan sanitasi di SESMA, hari ini. FOTO ihsan SESMA.
Malik Muhamad


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu melakukan operasi sanitasi atau nyah cemar di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Terengganu, hari ini.

Pengetua SESMA, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, langkah itu bagi memastikan guru dan pelajar serta warga SESMA kembali ke sekolah dalam keadaan selesa dan selamat selain tidak bimbang penularan wabak pandemik Covid-19.

"Usaha pihak sekolah mendapatkan bantuan daripada JBPM Kuala Terengganu dirancang sebelum Aidilfitri bagi membantu melakukan kerja nyah kuman di semua blok kelas, bangunan pentadbiran, makmal dan asrama.

"Ia bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum sekolah dibuka tidak lama lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Dalam operasi itu, enam anggota bomba membuat semburan dengan mengambil kira aspek keselamatan dan langkah pencegahan awal untuk mengelak pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, pihaknya perlu bersedia menerima kemasukan 119 pelajar Tingkatan Lima membabitkan lapan kelas pada bila-bila masa apabila diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 9:57 PM