JELANI (dua dari kiri) memotong pulut kuning ketika merasmikan program Bicara Profesional dan Pelancaran Buku PKP 2.0 PPD Kuala Nerus di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), petang semalam. Foto Malik Muhamad
JELANI (dua dari kiri) memotong pulut kuning ketika merasmikan program Bicara Profesional dan Pelancaran Buku PKP 2.0 PPD Kuala Nerus di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), petang semalam. Foto Malik Muhamad
Malik Muhamad


PEJABAT Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN) mengambil langkah proaktif apabila mengadakan bicara khas secara bersemuka dengan Pengetua dan Guru Besar (PGB) daerah berkenaan bagi mengetahui permasalahan sebelum sesi persekolahan dibuka.

Peranan dimainkan PPD itu wajar dicontohi bagi memastikan pelajar bakal hadir ke sekolah bermula 15 dan 22 Julai ini berada dalam keadaan selesa dan selamat, selain mengelak perasaan bimbang terhadap ancaman pandemik Covid-19.

Pegawai PPDKN, Hamid Yahya berkata, perjumpaan secara bersemuka bersama 45 PGB penting bagi mengetahui masalah dihadapi pihak sekolah sebelum sesi persekolahan dibuka sepenuhnya.

"Hasil perjumpaan itu, pihak pentadbir sekolah positif selain tidak ada sebarang masalah besar dan mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima semula kehadiran pelajar.

"Kami harapkan ibu bapa dan penjaga bersama menerapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kepada anak mereka bermula dari rumah lagi.

"Pada masa sama, pihak sekolah bakal menerapkan garis panduan berkenaan apabila tibanya di sekolah nanti," ujarnya.

Beliau ditemui dalam program Bicara Profesional dan Pelancaran Buku PKP (Peneraju Kecemerlangan Pendidikan) 2.0 PPD Kuala Terengganu (PPDKT) di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), yang dirasmikan Pegawai PPDKT, Jelani Sulong, petang semalam.

Sebelum ini, PGB daerah Kuala Terengganu turut didedahkan dengan sesi sama bagi memastikan masalah dihadapi dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan dibuka.

Pada 15 Julai ini, pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan Tingkatan 6 serta murid Tahun 5 dan 6 akan kembali semula ke sekolah manakala murid Tahun 1 hingga 4 akan hadir pada 22 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 10:06 PM